Kurang Fokus Punca KCFC Tumpas, Aidil Ikrar Bangkit

Disiarkan pada 29 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kurang fokus menjadi punca Kuching City FC (KCFC) tumpas di laman sendiri dalam aksi timbal balik Piala FA menentang Terengganu FC, tegas Pengendalinya Aidil Sharin Sahak.

Menurutnya, meskipun berkelebihan tiga gol, KCFC yang mendahului dengan agregat 4-1 tumpas 1-2 dalam aksi di Stadium Negeri malam tadi namun tetap mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3.

"Jika dilihat semula, dua gol yang kami bolos berpunca daripada kesilapan kami sendiri di mana gol pertama, kami tidak fokus dan tidak tersusun.

"Mereka mengambil sepakan sudut pantas dan berjaya menjaringkan gol, maka ini sesuatu yang perlu kami pelajari hari ini di mana kami tidak boleh leka walaupun satu atau dua saat kerana pasukan lawan akan menghukum kami," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.

Tambahnya, beberapa pemain The City Boys juga jelas keletihan setelah beraksi menentang Penang FC dua hari yang lepas menyebabkan beberapa pertukaran pemain selepas 75 minit.

Ujarnya, kesan keletihan ini dapat dilihat apabila KCFC dibolosi pada minit-minit akhir akibat beberapa kesilapan individu.

"Jangan lupa, dengan corak perjalanan kami, sistem pemulihan kami bukanlah yang terbaik.

"Kami tetap perlu mengurus apa yang ada kerana ini perkara biasa bagi kami.

"Kami mesti pastikan pemain menggunakan tenaga secara berhemah dan menumpukan semula perhatian supaya bersedia untuk perlawanan seterusnya," jelasnya.

Menurut beliau, anak buahnya perlu belajar daripada kesilapan yang dibuat dalam dua perlawanan tersebut.

"Itulah bola sepak, kadang-kadang kita lihat pasukan seperti Liverpool tewas empat perlawanan berturut-turut, perkara seperti itu memang berlaku dalam bola sepak.

"Pasukan besar dengan kemudahan dan peralatan bertaraf dunia pun kadang-kadang tidak mampu bangkit semula dan perkara memang jadi kebiasaan.

"Kini, pasukan Manchester United pula sedang menguasai, begitulah bola sepak di mana kita perlu menerima hakikatnya," katanya.

Di sebalik keputusan itu, beliau tetap positif kerana pasukannya hanya kalah setelah melalui enam perlawanan dan masih layak ke separuh akhir Piala FA.

"Inilah sebabnya, seperti yang saya sebutkan, kami perlu mulakan semula serta kembali fokus dan kita akan lihat bagaimana selepas ini," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa KCFC kini kembali memberi tumpuan penuh untuk memperbaiki kelemahan sedia ada sebagai persiapan menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu ini. - EDISI UKAS