Pelajar St.Andrew’s Singapura Teroka Dunia Digital Inovasi di TEGAS

Posted on 29 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pelajar dari St. Andrew’s Secondary School, Singapura, berpeluang meneroka dunia digital dan inovasi apabila seramai 38 pelajar dan guru sekolah mengadakan lawatan pembelajaran ke TEGAS Digital Village (TDV) pada Selasa.

Lawatan berkenaan merupakan hasil cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Majlis Makan Malam Sarawak Forestry Corporation (SFC) baru-baru ini.

Premier Sarawak mencadangkan agar pelajar dari Singapura diberi peluang mengenali keunikan biodiversiti, flora dan fauna, serta kemajuan teknologi digital yang sedang pesat berkembang di Sarawak.

Sepanjang berada di TDV, delegasi pelajar berpeluang mengikuti sesi kesedaran minda yang dikendalikan oleh Teduh Jiwa, syarikat pemula sosial yang diasaskan oleh alumni TEGAS.

Sesi berkenaan memberi inspirasi kepada pelajar tentang bagaimana inisiatif sosial dan inovasi boleh digerakkan untuk membentuk komuniti yang inklusif dan mampan.

Delegasi turut dibawa melawat pelbagai fasiliti di TDV termasuk ruang kerja bersama, makmal inovasi, dan galeri pameran teknologi yang mempamerkan pelbagai projek dan produk digital hasil ciptaan anak tempatan.

Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada program-program pembangunan bakat digital dan sokongan keusahawanan yang dilaksanakan oleh TEGAS di bawah aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.

Kunjungan ini sekaligus mencerminkan komitmen TDV dalam memperkukuh jalinan pendidikan dan inovasi serantau serta memupuk minat generasi muda terhadap bidang teknologi dan keusahawanan yang menjadi tunjang kepada masa depan ekonomi digital Borneo.-EDISI UKAS