Kerajaan Sarawak Tubuh Pusat Kajian Universiti Teknologi Swinburne

Disiarkan pada 29 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak secara dasar telah bersetuju untuk meluluskan tapak seluas 15 ekar bagi pembangunan pusat kajian Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, selaras usaha menjadikan Sarawak sebagai hab penyelidikan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan pusat ini adalah langkah strategik bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memproses sumber-sumber Sarawak dalam tempoh 25 tahun akan datang.

“Sudah tentu, Kerajaan Sarawak akan melabur dalam pembinaan pusat penyelidikan ini serta melengkapkannya dengan peralatan terkini.

“Tujuannya adalah untuk menganalisis semua sumber yang ada dan menukarkannya kepada produk berkualiti tinggi menggunakan teknologi terkini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa.

Sebagai Pro-Canselor universiti itu, beliau menekankan bahawa pusat penyelidikan ini akan menjadi teras bagi kajian tenaga hijau serta sektor teknologi tinggi termasuk satelit, dron dan aeroangkasa.

Beliau yakin dengan kepakaran dan sumber tempatan, Sarawak mampu melahirkan generasi muda berpengetahuan tinggi dalam bidang tenaga dan teknologi canggih.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

Foto : Hazrin Bin Sunaini