Utamakan Keselamatan Semasa Perayaan Hari Raya

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Umat Islam yang bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata ia penting bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran dan kemalangan.

"Musim perayaan biasanya masyarakat sentiasa membuat persiapan terutamanya membuat kuih muih, namun kita harus berwaspada dengan penggunaan elektrik dan dapur bagi mengelakkan kejadiaan yang tidak diingini berlaku.

“Kita seharusnya mengutamakan keselamatan terutamanya anak-anak kita supaya tidak melakukan kerja yang sia-sia, begitu juga dengan keselamatan ketika pulang ke kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2024 di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Mohammad Razi berkata kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak membelanjakan sebanyak RM1,662,400 untuk memberi sumbangan kepada seramai 16,624 penerima bantuan yang meraikan Hari Raya tahun ini.

Daripada jumlah itu katanya, Kuching mencatatkan seramai 4,524 penerima, Samarahan 2,486, Serian 349, Sri Aman 734, Betong 2,216, Sarikei 359, Sibu 766, Mukah 2,374, Kapit 98, Bintulu 601, Miri 967 dan Limbang 1,157.

Seramai 1,100 orang penerima bantuan dijemput dan diraikan dalam Majlis Sejambak Kasih di mana setiap penerima akan menerima sumbangan RM100 dan hamper bernilai RM80.

Datuk Mohammad Razi turut menyeru masyarakat supaya sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan bersederhana terutamanya semasa menyambut hari perayaan masing-masing.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, wakil Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS