 
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) menempah slot ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 5-3 meskipun tumpas di halaman sendiri 1-2 dalam aksi timbal balik menentang Terengganu FC di Stadium Negeri Sarawak pada Selasa.
Pasukan Sang Penyu yang tempang setelah kalah di halaman sendiri 1-4 bermula garang dengqn menguasai posisi bola dan beberapa siri percubaan berbahaya ketika KCFC masih mencari rentak permainan pada awal minit permainan.
Penguasaan Terengganu FC membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-11 menerusi taktik licik sepakan sudut sebelum rembatan deras Raiandersin Da Costa menewaskan penjaga gawang KCFC, Haziq Nadzli.
Biarpun masih mengekalkan agregat 4-2, anak buah Aidil Sharin Sahak tidak membenarkan penguasaan terus milik pemain Terengganu FC dan mula mengatur corak permainan yang lebih teratur.
Gol penyamaan akhirnya ditemui pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti Wanja Ronald Ngah melalui semakan VAR susulan kekasaran terhadap Jimmy Raymond di kotak penalti beberapa minit sebelum ini.
Terengganu FC yang ketinggalan dari segi agregat terpaksa mengatur strategi perlawanan dengan mengasak kubu pertahanan KCFC namun tidak membuahkan sehingga berakhir separuh masa pertama.
KCFC berjaya mendahului lawan sebaik bersambung babak kedua selepas Muhammad Ramadhan berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq dalam situasi satu-lawan-satu.
Namun, keputusan VAR tidak menyebelahi KCFC setelah Ramadhan didapati melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan Terengganu FC.
Situasi itu dimanfaatkan oleh anak-anak buah Badrul Afzan dengan mula meningkatkan tempo perlawanan untuk menggasak kubu pertahanan KCFC.
Ketika perlawanan seakan tamat 1-1, Terengganu FC mengejutkan tuan rumah apabila Raianderson menjaringkan gol keduanya pada minit kecederaan. - EDISI UKAS