80 Penerima Di DUN Ngemah Terima Dana MRP Berjumlah RM557,000

Posted on 28 Oct 2025
Source of News: UKAS


KANOWIT: Seramai 80 penerima terdiri daripada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM557,000 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penerima dana berkenaan haruslah menggunakan peruntukan yang disalurkan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti.

“Setiap wakil penerima perlu memberi penerangan kepada penduduk di kawasan masing-masing mengenai bajet yang disalurkan. Jawatankuasa yang terlibat juga perlu merancang dan mengurus dana ini dengan baik supaya impaknya benar-benar memberi faedah kepada rakyat,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan dana berkenaan, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Anyi menyeru penduduk di DUN Ngemah agar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.

“Kawasan luar bandar seperti di DUN Ngemah masih memerlukan pelbagai kemudahan asas dan projek pembangunan. Sokongan berterusan kepada GPS amat penting bagi memastikan pelan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Kanowit Casseylia Benet, Pemanca Charlie Salang, Penghulu Pree Minggat dan Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Ngemah Ramba Resang. -EDISI UKAS