 
SIBU: Projek bekalan air bersih bernilai RM16.5 juta di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi kawasan Batang Lassa mengalami sedikit kelewatan susulan isu bantahan berkaitan tapak pembinaan loji air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, memaklumkan bahawa projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang bertujuan membekalkan air bersih kepada tujuh buah rumah panjang di kawasan tersebut.
“Projek ini amat penting bagi mengatasi kebergantungan penduduk terhadap bekalan air hujan dan sungai. Namun, pelaksanaannya tertangguh selepas berlaku bantahan terhadap proses pengambilan tanah untuk tapak loji,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutupan Program Transformasi Tadbir Urus dan Pengurusan Mampan Institusi Kampung, di sini, pada Selasa.
Menurut Dr Safiee, kawasan tanah berkenaan dikenal pasti sebagai tanah kerajaan yang tidak berdaftar, namun terdapat seorang individu yang mendakwa tanah tersebut adalah miliknya.
“Pada peringkat awal, semua tuai rumah telah memberikan persetujuan bertulis agar projek ini dijalankan tanpa tuntutan terhadap tanah berkenaan.
“Tetapi terdapat seorang individu yang membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tanah dan Survei, menyebabkan kerja terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya telah mengarahkan agensi terlibat untuk turun ke lapangan bagi mencari tapak alternatif agar projek dapat diteruskan secepat mungkin.
Selain projek air, kawasan berkenaan turut menerima kelulusan bagi pembinaan sebuah Sekolah Kebangsaan baharu lengkap dengan asrama di atas tanah seluas lapan ekar di mana proses pengambilan tanah bagi sekolah tersebut telah selesai.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kawasan tersebut kini telah menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui sistem grid sejak tahun lalu, selain bakal disambungkan dengan jalan ladang baharu.
Dua lagi projek jalan turut diluluskan masing-masing di bawah RADDA dan Mid-Term Review (MTR) Rancangan Malaysia terdahulu.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, projek-projek ini dapat disiapkan dalam tempoh setahun. Ini akan membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk rumah panjang di Batang Lassa,” tambahnya.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Sibu Safidi Tumboh dan wakil Pegawai Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping. -EDISI UKAS