Miri City Christmas Parade 2025 Meriahkan Miri Disember Ini

Posted on 28 Oct 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Miri City Christmas Parade (MCCP) edisi ke-16 sekali lagi meneruskan tradisi perayaan Krismas yang menjadi salah satu identiti utama di Bandaraya Miri akan berlangsung pada 6 Disember 2025 nanti.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, MCCP 2025 membawa tema “Jesus Christ, Our Peace”, yang diilhamkan daripada kitab John 16:33, dengan mesej menyeru kepada keamanan, keharmonian dan semangat perpaduan dalam komuniti berbilang kaum serta agama di Miri.

“MCCP adalah sambutan untuk semua, tanpa mengira umur, bangsa atau latar belakang.

"Ia menjadi wadah penyatuan komuniti dan memperkukuh semangat kerjasama serta kasih sayang sesama masyarakat,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Bersama MCCP 2025 dan Reverend Joshua Shubash daripada Methodist Church berkata, perarakan akan bermula pada jam 5 petang di Miri City Fan sebelum melalui laluan utama antaranya Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Bendahara, Jalan Nakhoda Gampar, Jalan South Yu Seng, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati dan Jalan Kipas, sebelum kembali semula ke Miri City Fan.

Program itu nanti turut dimeriahkan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Selain itu, pelbagai persembahan puji-pujian, tarian serta konsert Krismas dari gereja-gereja yang mengambil bahagian serta penampilan khas artis tempatan terkenal Melissa Francis dan Ramles Walter bagi memeriahkan lagi suasana perarakan yang dijangka menarik kehadiran ribuan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat.

Hadir sama dalam sidang media, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Miri, Petrick Linggie Taboh, wakil Borneo Evangelical Mission (BEM), Pastor Dr. Wlly Sigo serta wakil jabatan kerajaan dan gereja-gereja.-EDISI UKAS