 
KUCHING: Kuching bakal melangkah ke era baharu dalam pengurusan bandar pintar apabila Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkenalkan Sistem Smart Parking, yang dijadual memulakan operasi sepenuhnya pada Januari 2026.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, pelantikan syarikat Pay & Go Sdn. Bhd. sebagai penyedia penyelesaian dan pengendali sistem tersebut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh inisiatif Sarawak Smart City dan Ekonomi Digital Sarawak.
Menurutnya, pemilihan Pay & Go dibuat melalui proses Request for Proposal (RFP) yang menilai secara menyeluruh keupayaan teknikal, pengalaman operasi dan kekuatan kewangan syarikat tersebut.
“Sistem smart parking ini mewakili pendekatan moden, efisien dan berasaskan data dalam pengurusan parkir direka untuk meningkatkan keselesaan pengguna, memperkukuh kecekapan penguatkuasaan serta menambah baik kutipan hasil majlis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Smart Parking di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menambah, fasa percubaan bagi sistem berkenaan akan bermula pada 1 November 2025, bertepatan dengan tamatnya kontrak konsesi sedia ada oleh Kuching City Parking Systems Sdn. Bhd. (KCPS) pada 30 Oktober 2025.
Jelasnya, kadar bayaran parkir termasuk parkir bermusim dan parkir berbayar kekal tidak berubah sepanjang tempoh percubaan itu.
“Tempoh konsesi bagi Pay & Go ditetapkan selama 10 tahun, dengan pilihan lanjutan lima tahun tertakluk kepada prestasi dan persetujuan bersama.
“Kami berharap peralihan ini akan meningkatkan keselesaan pengguna melalui pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan, memperkukuh penguatkuasaan menerusi pemantauan masa nyata serta menambah ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan hasil,” ujar beliau.
Sementara itu, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman berkata, sistem parkir pintar ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap inovasi, kecekapan dan kecemerlangan perkhidmatan awam.
Beliau menjelaskan, sistem baharu ini akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih termasuk aplikasi mudah alih Pay & Go berasaskan GPS, notis parkir menggunakan kod QR, serta pemasangan kamera pengecaman nombor plat (LPR) pada motosikal dan kenderaan penguat kuasa bagi memperkukuh pemantauan lapangan.
“Melalui inisiatif ini Kuching bukan sahaja mempertingkatkan kemudahan parkir dan kecekapan operasi malah meletakkan asas ke arah mobiliti bandar yang lebih pintar dan mampan.
“Sistem ini akan mempertingkat keselamatan, mempercepatkan proses penguatkuasaan serta memudahkan pengguna melalui kaedah pembayaran digital yang lebih cepat dan efisien,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan sistem smart parking itu sebagai satu langkah transformasi besar bagi Kuching dalam usaha menjadikan bandar raya ini lebih mesra penduduk, mampan dan selari dengan aspirasi bandar pintar Sarawak.- EDISI UKAS