 
BANDAR SERI BEGAWAN: Hubungan dagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam terus berkembang kukuh apabila nilai perdagangan kedua-dua wilayah itu mencatatkan RM3.39 bilion pada 2024, sekali gus memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi ekonomi Bumi Kenyalang di peringkat serantau dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah tersebut menunjukkan hubungan ekonomi yang semakin dinamik antara Sarawak dan Brunei Darussalam, berbanding jumlah keseluruhan dagangan luar negeri yang bernilai RM198.7 bilion pada tahun sama.
Menurutnya, angka dagangan yang terus meningkat itu membuktikan kekuatan kerjasama ekonomi yang kukuh, sekali gus menambahkan keyakinan bahawa Sarawak kekal sebagai destinasi pelaburan yang strategik, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.
“Sarawak adalah antara destinasi pelaburan yang paling popular di Malaysia, dan kita terus mencadangkan pelaburan yang mampan serta inovatif yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat kita dan ekonomi negara secara keseluruhan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Projek Rimbunan Kaseh Sundar, Lawas bertempat di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) di sini pada Selasa.
MoA berkenaan dimeterai antara LCDA Agri Business Sdn. Bhd. dengan Sahamada Corporation Sdn. Bhd., dan disaksikan oleh Datuk Amar Awang Tengah bersama Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, Brunei Darussalam mempunyai kedudukan yang strategik untuk menjadi pintu masuk kepada pasaran yang lebih luas, manakala Sarawak pula menawarkan sumber semula jadi yang melimpah serta tenaga kerja mahir.
“Brunei mempunyai ekosistem perniagaan yang mantap dan dasar kewangan yang stabil. Sarawak pula kaya dengan sumber semula jadi, tenaga kerja terlatih, dan kestabilan politik yang tinggi. Bersama-sama, kita dapat memperkasa pembangunan ekonomi,” jelasnya lanjut.
Selain sektor perdagangan, Datuk Amar Awang Tengah turut menekankan potensi besar dalam kerjasama tenaga hijau, selaras dengan komitmen kedua-dua pihak terhadap agenda kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara Brunei Darussalam dan Malaysia, khususnya Sarawak, perlu diperluaskan ke sektor-sektor baharu yang mempunyai nilai ekonomi tinggi dan potensi masa depan yang besar.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam Datuk Mohd Aini Atan, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Sr. Zaidi Mahdi, Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai, Penasihat Sahamada Corporation Sdn. Bhd. Illias Matusin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Leya Ameera Annuar Rigos
Foto: Shairazi