 
BANDAR SERI BEGAWAN: Pelaksanaan Projek Rimbunan Kaseh (RK) Sundar Lawas mencerminkan kesungguhan kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan ekonominya dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berimpak tinggi, terutama di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ini akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi setempat di Lawas, selain membuka ruang lebih luas kepada penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian moden dan berasaskan teknologi.
“Kita mahu melihat rakyat luar bandar menjadi sebahagian daripada arus pembangunan.
"Melalui projek seperti ini, kita bukan sahaja meningkatkan hasil ekonomi, tetapi juga mengubah cara hidup masyarakat dengan pendekatan pertanian moden dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi projek tersebut di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB), di sini pada Selasa.
MoA yang dimeterai antara LCDA Agri Business Sdn. Bhd. dengan Sahamada Corporation Sdn. Bhd. itu disaksikan oleh Datuk Amar Awang Tengah bersama Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin.
Dalam ucapan sama, Menteri Perdagangan
Antarabangsa, lndustri dan Pelaburan Sarawak itu juga menegaskan bahawa penglibatan sektor swasta adalah penting untuk memastikan Projek RK Sundar berkembang sepenuhnya.
Katanya, kerajaan Sarawak berperanan menyediakan dasar yang jelas dan memudahkan pelaksanaan, manakala sektor swasta harus menjadi jentera penggerak utama pembangunan.
“Berkenaan projek ini, infrastruktur sudah pun sedia ada. Saya terlibat sejak peringkat perancangan awal, dan untuk mengembangkannya, penglibatan sektor swasta adalah perlu.
"Semoga projek ini berjaya, dan saya yakin ia akan memberi impak positif kepada masyarakat,” tegas beliau.
Turut hadir di majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam Datuk Mohd Aini Atan, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Sr. Zaidi Mahdi, Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai, Penasihat Sahamada Corporation Sdn Bhd Illias Matusin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, serta tetamu-tetamu yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Leya Ameera Annuar Rigos
Foto: Shairazi