MOUGA Terus Perkukuh Perpaduan Komuniti Orang Ulu Melalui Sukan Golf

Posted on 27 Oct 2025
Source of News: ukas


MIRI: Majlis Makan Malam Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan Golf ke-8 Malaysia Orang Ulu Golf Association (MOUGA) 2025 berlangsung penuh meriah di Kelab Golf Miri, pada Sabtu.

Majlis berprestij itu menghimpunkan para pemain golf dan komuniti Orang Ulu dari seluruh negara serta disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu serta Penaung MOUGA, Datuk Gerawat Gala.

Dalam ucapannya, Datuk Gerawat merakamkan penghargaan kepada penganjur dan semua peserta atas kejayaan menganjurkan kejohanan tahunan yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan golf, malah memperkukuh jaringan persaudaraan serta perpaduan dalam kalangan komuniti Orang Ulu.

“Walaupun kita komuniti kecil, apabila kita bersatu dan bercakap dengan satu suara, kita akan didengari dan dihormati,” tegas beliau.

Beliau menegaskan bahawa MOUGA berperanan sebagai wadah penting untuk menyatukan komuniti Orang Ulu tanpa mengira latar belakang politik, agama atau suku kaum, selaras dengan semangat kekitaan dan kebersamaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat.

Datuk Gerawat turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian bakat muda komuniti tersebut seperti Abigail, Kezia dan Adam, yang bukan sahaja menyerlah dalam arena golf tetapi juga menjadi duta kecil yang mengharumkan nama komuniti Orang Ulu di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan dan komuniti, beliau mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi kejohanan tersebut serta tambahan RM50,000 kepada MOUGA bagi membantu pelaksanaan program dan aktiviti persatuan pada masa akan datang.

“Saya berharap lebih ramai pemimpin Orang Ulu tampil memberikan sokongan kepada MOUGA demi kemajuan komuniti dan kesinambungan sukan golf dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan yang mencerminkan keindahan warisan masyarakat Orang Ulu, antaranya nyanyian lagu “Tek Na” oleh Wanita Orang Ulu, tarian tradisional Datun Julut oleh Persatuan Wanita Orang Ulu Miri, Orang Ulu Solo Dance oleh junior golfer Adams Hendry, serta persembahan muzik tradisional oleh Bamboo Band Persatuan Lun Bawang Sarawak.

Antara acara utama malam tersebut ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang 8th MOUGA Golf Tournament 2025 melibatkan tiga kategori utama iaitu Tetamu Jemputan, Terbuka, dan Tertutup (OU Ladies & OU Men).

Selain itu, turut diadakan penyerahan rasmi tanggungjawab penganjuran Kejohanan MOUGA ke-9 tahun 2026 kepada pasukan penganjur dari Bintulu, disusuli cabutan bertuah dan persembahan muzik oleh Mountain Wind Band yang menutup majlis dalam suasana penuh meriah dan keakraban.

Turut hadir, Presiden MOUGA, Asan Odau, barisan penganjur, ahli-ahli persatuan serta para tetamu kehormat yang mewakili pelbagai komuniti Orang Ulu dari seluruh negeri dan Semenanjung Malaysia.-EDISI UKAS