Hospital Khas Kanser Bakal Dibina Di Sarawak

Disiarkan pada 26 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membina hospital khas bagi rawatan kanser termasuk kanser payudara apabila projek pembinaannya yang telah diluluskan kerajaan persekutuan.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pembinaan hospital berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pelan strategik kebangsaan bagi menangani penyakit kanser di Malaysia.

“Apa kerajaan buat memang banyak hospital kanser dibuat di seluruh Malaysia dan di Sarawak, Insya-Allah kerajaan akan bina hospital kanser termasuk kanser payudara.”

“Sudah diluluskan, bajet sudah ada, hanya menunggu pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pink High Tea anjuran Pink Ribbon Support Group Sarawak di Grand Margherita Hotel, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pelaksanaan hospital kanser berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan melalui National Strategic Plan for Cancer yang digubal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan rakyat memperoleh akses rawatan dan pengesanan awal secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah turut menegaskan pentingnya meningkatkan kesedaran dan pemeriksaan awal terhadap kanser payudara dalam kalangan wanita, terutama di kawasan luar bandar, sebagai langkah pencegahan awal yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Alangkah ruginya jika wanita-wanita kita, terutama yang di luar bandar, tidak tahu tentang pemeriksaan seperti mamogram.”

“Masih ramai yang berumur 50 tahun ke atas belum pergi buat mamogram, sedangkan ia sangat penting untuk pengesanan awal,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan perbincangan ringkas bertajuk “BSC vs Mastectomy in the Management of Breast Cancer” yang disampaikan oleh Dr. Rokayah Julaihi, Consultant General Surgeon yang berkepakaran dalam pembedahan payudara.

Datuk Sharifah menyeru agar badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan memperkukuh kolaborasi melalui program kesedaran serta saringan awal bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat manfaat dan pengetahuan mengenai pencegahan kanser payudara.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee