Kecemerlangan Holistik Teras Kejayaan SMK Merbau

Disiarkan pada 25 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kecemerlangan holistik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau menjadikannya antara sekolah contoh di Sarawak, dengan kejayaan melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdisiplin, berakhlak serta aktif dalam pelbagai bidang kokurikulum.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menzahirkan rasa gembira dan bangga atas kejayaan warga sekolah yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam melahirkan pelajar cemerlang dan berdisiplin.

“SMK Merbau boleh dikatakan sebagai salah sebuah sekolah contoh di Sarawak dari segi pencapaian akademik, kokurikulum dan juga keindahan persekitaran sekolah. Ini bukan mudah, ia hasil kerjasama erat antara guru, pihak pengurusan dan PIBG,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) SMK Merbau 2025 di Dewan SMK Merbau, di sini, pada Sabtu.

Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya berdasarkan keputusan akademik semata-mata.

“Majikan hari ini tidak hanya melihat keputusan akademik semata-mata. Mereka menilai pelajar dari segi sahsiah, disiplin, kepimpinan dan keupayaan bekerja dalam pasukan. Oleh itu, pelajar harus dibentuk secara holistik,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan pelajar agar menjauhi salah laku disiplin dan mengekalkan SMK Merbau sebagai zon sifar kes jenayah dan masalah sosial, di samping mengamalkan budaya hormat dan toleransi antara satu sama lain.

Dalam konteks pembangunan negeri, Dato Sri Lee menyeru pelajar agar memanfaatkan peluang pendidikan bagi menyumbang kepada masa depan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

“Sarawak kini memerlukan tenaga muda yang berilmu, berkemahiran dan inovatif, bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga bidang teknikal, kejuruteraan, automasi, teknologi maklumat dan tenaga hijau,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Dato Sri Lee mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada PIBG SMK Merbau bagi menyokong penubuhan STEM Hub, selain RM65,000 lagi untuk pembelian Smart TV di bawah inisiatif pembelajaran digital Kerajaan Sarawak.

Majlis turut dihadiri Pengetua SMK Merbau Chong Lee Ngo dan Yang Dipertua PIBG, Dr. Maurice Steve Utap.-EDISI UKAS