KUALA LUMPUR: Malaysia harus mengambil langkah segera untuk menapis kandungan sosial media dan hiburan yang boleh dipaparkan kepada kanak-kanal di negara ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, generasi muda hari ini terlampau didedahkan dengan konten berbaur keganasan dan tidak sesuai dengan perkembangan minda mereka.
Katanya, negara lain sudah melakukan tapisan terhadap konten-konten yang boleh diakses di negara mereka dengan teknologi yang ada.
“Di negara lain, mereka mengawal konten dengan menapis sesetengah konten yang boleh diakses di negara mereka kerana ini semua dapat dibuat menggunakan teknologi.
“Salah satu langkah mengatasi masalah buli dalam kalangan generasi muda ialah melalui cara berkenaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Agenda Sarawak sempena Lan Brambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, generasi muda yang berumur 21 tahun ke bawah tidak mempunyai daya tahan terhadap pengaruh di media sosial dan memerlukan didikan termasuklah menggunakan khidmat ahli psikologi.
“Ini merupakan satu evolusi dalam masyarakat bagaimana kita dapat mengawal penggunaan peranti digital yang tiada batasan.
“Ia dihasilkan secara besar-besaran dan melibatkan isu yang sangat kompleks dan oleh itu, kita memerlukan pakar psikologi yang terlatih untuk membantu mengurus dan memahami emosi manusia dalam konteks ini,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir & Muhammad Rais Sanusi