KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan terus mengkaji mekanisme-mekanisme untuk membantu pelajar Sarawak yang menuntut di universiti awam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelajar Sarawak yang menuntut di universiti awam yang bukan milik Sarawak secara tidak langsung terkecuali daripada menerima manfaat pendidikan percuma.
“Dari sudut kaedah pemberian pendidikan percuma yang melibatkan universiti awam, selain daripada universiti milik Sarawak, kita masih mencari cara yang paling sesuai kerana universiti-universiti ini diuruskan oleh kerajaan pusat dan tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.
“Kita tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan secara langsung, oleh itu kita perlu mengkaji dengan teliti bagaimana kita boleh campur tangan dengan berkesan, kerana ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar dalam sesi Townhall Agenda Sarawak sempena Lan Brambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Selain tidak boleh campur tangan, beliau menjelaskan sistem universiti awam yang tertakluk dengan Unit Pusat Universiti (UPU) meletakkan pelajar secara rambang dalam jurusan meskipun luar daripada bidang yang mereka minati menyukarkan Sarawak untuk membiayai pendidikan mereka.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak buat masa ini akan tetap membantu pelajar-pelajar menerusi pemberian bantuan termasuklah duit poket RM1,200 yang akan diteruskan pada tahun hadapan, pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan perbelanjaan RM30 juta setahun serta biasiswa pendidikan di universiti luar negara.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberi jaminan untuk membantu anak-anak Sarawak yang melanjutkan latihan pendidikan di bawah kementerian-kementerian lain selain Kementerian Pendidikan Tinggi agar mereka turut mendapat manfaat yang sama seperti baucar komputer riba dan sebagainya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir & Muhammad Rais Sanusi