Premier Sarawak Bakal Kongsi Aspirasi Sarawak Dalam Sektor Tenaga Diperbaharui Pada SIEW 2025

Posted on 25 Oct 2025
Source of News: UKAS


SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila bakal berkongsi pencapaian dan aspirasi Sarawak dalam sektor tenaga diperbaharui pada Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2025.

Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada 27 Oktober ini di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Marina Bay Sands, yang turut menyaksikan beberapa pemimpin dari serata dunia dan tokoh terkemuka dalam sektor tenaga berkongsi pandangan dan kepakaran masing-masing.

Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Tenaga, Perniagaan dan Industri Kerajaan Sweden, H.E. Ebba Busch; Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains & Teknologi, Kementerian Perdagangan dan Industri, Republik Singapura, H.E. Dr Tan See Leng; Naib Yang Dipertua Dewan Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia, H.E. Eddy Soeparno; Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Australia, H.E. Allaster Edward Cox, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera dan ramai lagi.

Terdahulu sebelum menyampaikan ucaptama, Premier Sarawak dijadual mengadakan perbincangan berprofil tinggi bersama delegasi dari syarikat PFYN Capital AG, MASDAR dan Blueleaf Energy/Chemsain.

SIEW merupakan platform tahunan untuk profesional tenaga, pembuat dasar dan pengulas berkongsi amalan terbaik dan penyelesaian dalam ruang tenaga global.

Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA), SIEW 2025 akan menampilkan ucaptama peringkat tinggi dan perbincangan panel memfokuskan tema "Envisioning Energy Tomorrow, Building Systems Today".

Acara penting lain termasuk Forum Singapura-IEA, Forum Peringkat Tinggi Singapura-IRENA, Wawasan Tenaga SIEW, SIEW TechTable dan Meja Bulat SIEW Thinktank. - EDISI UKAS