KUALA LUMPUR: Kompleks Sarawak akan dibina di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk membantu anak Sarawak di perantauan terutamanya mereka yang masih belajar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan ini dibuat setelah mendengar keluh-kesah pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia dalam edisi Lan Brambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di mana kebanyakkan mereka sukar mencari tempat kediaman ekoran kos yang tinggi.
“Saya sudah dapat mengenal pasti sebuah kawasan tanah di Kuala Lumpur untuk kita membangunkan bangunan Sarawak dan kompleks ini juga akan menempatkan hostel dan juga tempat untuk anak Sarawak berkumpul.
“Jadi, kita dah ada kenal pasti di mana saya rasa dalam masa tiga tahun bangunan Sarawak itu akan berdiri teguh di tengah-tengah Kuala Lumpur,” ujar beliau.
Pengumuman itu dibuat semasa beliau menggulungkan sesi Townhall Sarawak Agenda sempena LBAS 2025, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan inisiatif ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus membantu rakyatnya di perantauan dengan menyediakan kemudahan dan bantuan untuk meringankan beban mereka.
Lebih 6,000 rakyat Sarawak di mana 3,500 daripada terdiri daripada pelajar universiti telah hadir dalam sesi townhall berkenaan menyambut baik pengumuman ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir