Anak Sarawak Kini Di Mata Dunia

Posted on 25 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUALA LUMPUR: Kejayaan anak-anak Sarawak dalam bidang tenaga hijau dan teknologi semikonduktor menjadikan negeri itu semakin menyerlah di mata dunia, sekali gus membuktikan kemampuan generasi muda Sarawak menyaingi pencapaian global melalui inovasi dan kepakaran sendiri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian luar biasa anak-anak Sarawak yang berjaya mencipta cip kuasa kecerdasan buatan (AI) Power Chip Converter pertama di dunia merupakan detik penting yang meletakkan Sarawak pada peta teknologi antarabangsa.

Menurut beliau, ini memberi isyarat jelas bahawa generasi baharu Sarawak bukan lagi pemerhati tetapi kini pemacu utama transformasi global terutamanya dalam bidang tenaga hijau dan semikonduktor.

“Tahukah anda, saya telah menubuhkan sebuah makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Cardiff, United Kingdom, di bawah Sarawak Micro Electronic Design (SMD).

"Kita menghantar saintis serta Ketua Pegawai Eksekutif kita untuk memantau perkembangannya. Hasilnya, saintis Sarawak berjaya mencipta cip kuasa kecerdasan buatan AI Power Chip Converter yang pertama seumpamanya di dunia, dicipta oleh anak Sarawak di Cardiff

"Apabila kita memiliki harta intelek (IP) sendiri, cip ini kelak akan digunakan oleh dunia. Mudah-mudahan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan, ia dapat dikomersialkan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya semasa Townhall Sarawak Agenda sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu.

Premier Sarawak menambah, kejayaan tersebut membuktikan bahawa Sarawak bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi kini menjadi pencipta teknologi masa depan, termasuk dalam industri semikonduktor dan tenaga hijau.

Tegas beliau, Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam industri teknologi tinggi. Kita mahu menjadi ‘front end of technology’, bukan sekadar ‘back end’.

"Saya pada mulanya tidak menyangka anak Sarawak mampu menghasilkan cip AI, namun ternyata mereka sangat bijak dan berdaya cipta.

"Kini, penyelidikan mereka turut mengorak langkah baharu dengan menukar asas cip daripada wafer silikon kepada wafer gallium nitride yang lebih tahan haba serta mampu menyimpan berjuta data, rupa-rupa yang menghasilkannnya itu juga anak Sarawak di United Kingdom," jelasnya lagi.

Premier Sarawak menjelaskan, teknologi itu kini digunakan dalam pelbagai peranti berteknologi tinggi, termasuk industri angkasa lepas, sistem pemantauan grid tenaga serta peralatan kesihatan canggih.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2025 Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS

Disediakan Oleh: Muller Asen
Foto: Ameerul Syafiq Khir & Muhammad Rais Sanusi