KUCHING: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bakal mewujudkan wakil YAKEB Prihatin di setiap bahagian di Sarawak bagi memastikan kebajikan bekas atlet di negeri ini lebih terjamin dan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.
Pengerusi YAKEB, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, berkata langkah itu diambil berikutan keluasan geografi Sarawak yang menyebabkan segelintir bekas atlet sukar dihubungi dan tidak mengetahui mengenai skim bantuan yang ditawarkan oleh yayasan.
“Sarawak terlalu luas. Ada bekas atlet di Limbang, Lundu dan kawasan pedalaman yang tidak dapat kita capai. Dengan adanya wakil YAKEB Prihatin di setiap bahagian, kita boleh menggerakkan jaringan keluarga YAKEB dengan lebih baik dan mengetahui keadaan ahli di lapangan,” katanya semasa Program YAKEB Turun Padang Edisi Sarawak yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, wakil YAKEB Prihatin akan berperanan sebagai penghubung utama antara ahli dan pihak pengurusan YAKEB, termasuk menyelaras maklumat, mengesan keperluan semasa serta menyampaikan bantuan yang bersesuaian kepada bekas atlet.
Dato’ Ahmad Shapawi menjelaskan, wakil-wakil berkenaan kelak bukan sahaja membantu dari segi kebajikan, tetapi juga berperanan menghidupkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli.
Menurutnya, usaha itu turut membantu YAKEB mengenal pasti lebih ramai bekas atlet yang belum berdaftar sebagai ahli, sekali gus memperluas manfaat bantuan dan skim sokongan yang disediakan.
Dalam pada itu, Dato’ Ahmad Shapawi turut menyeru bekas atlet agar tidak segan untuk tampil dan memohon pelbagai skim bantuan yang telah ditambah baik oleh YAKEB supaya manfaatnya benar-benar dirasai.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: YAKEB