BELAGA: Sebanyak 24 pasukan dari kawasan Urun, Metalun, Tegulang, Linau dan Sungai Asap menyertai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Long Urun Piala Pusingan DUN Murum Edisi Ke-3 yang berlangsung di Padang Bola Sepak SK Long Urun, Belaga, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon mengucap tahniah kepada Kelab Bola Sepak Urun dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Urun atas inisiatif menganjurkan kejohanan berkenaan yang bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.
“Kita amat berharap daripada kejohanan seperti ini, akan lahir pemain-pemain muda yang suatu hari nanti mampu mengharumkan nama Murum di peringkat negeri dan lebih tinggi lagi,” ujar beliau ketika berucap dalam majlis perasmian kejohanan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan para pemain agar mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi serta menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk membina disiplin dan jaringan persahabatan baharu.
Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat tempatan dan individu yang menaja serta membantu menjayakan kejohanan tersebut yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.-EDISI UKAS