MIRI: Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bersama ibu bapa dan komuniti setempat bergotong-royong membersihkan kawasan Pantai Kampung Nelayan Luak bersempena dengan sambutan Hari Keluarga sekolah tersebut pada Sabtu.
Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, iaitu Chia Kar Furng, menzahirkan penghargaan kepada SMK Luak, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), 99 Speed Mart dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) atas sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
“Program ini amat bermakna kerana bukan sahaja memupuk kesedaran menjaga alam sekitar, malah menjadi platform mendidik anak-anak agar menghargai kebersihan dan kelestarian kawasan kita,” katanya semasa berucap ringkas.
Beliau turut menegaskan pentingnya tanggungjawab bersama dalam memelihara bumi memandangkan “kita hanya mempunyai satu bumi sahaja”.
Menurutnya lagi, MBM kini giat melaksanakan inisiatif 3R iaitu Reduce-Kurangkan, Reuse-Guna Semula, dan Recycle-Kitar Semula, dengan menggalakkan pemulihan sisa pepejal melalui pemisahan sampah plastik, kertas dan kaca ke arah merealisasikan visi bandar raya hijau, pintar dan paling selesa didiami.
Chia turut menyatakan penghargaan kepada pihak sekolah atas inisiatif mereka menjaga kebersihan Pantai Luak melalui program berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad serta Kaunselor Lisa Yu.-EDISI UKAS