SELANGAU: Sebanyak 43 pintu di Rumah Panjang Tamat Ngipa, Nanga Tabau, Batang Oya, Selangau menerima bantuan bahan binaan baharu di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Bantuan berupa bahan atap jenis spandek itu diserahkan oleh Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Selangau, Munan John Andrew yang mewakili Ahli Parlimen Selangau pada Jumaat.
Menurut Munan, pelaksanaan program ini membuktikan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah memberi peluang kepada mereka menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sementara itu, penduduk rumah panjang menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan mampu meningkatkan taraf hidup serta keselamatan kediaman mereka.-EDISI UKAS