Karnival Selangau 2025 Platform Perpaduan & Pemangkin Ekonomi Luar Bandar

Posted on 25 Oct 2025
Source of News: UKAS


SELANGAU: Karnival Selangau 2025 Edisi Ke-7 terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan menjana peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar di kawasan Selangau.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, yang mewakili Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, berkata penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja menyerlahkan semangat muhibah masyarakat pelbagai kaum, malah turut membuka ruang keusahawanan kepada golongan belia tempatan.

“Karnival ini bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi platform untuk belia dan usahawan kecil menonjolkan produk, idea serta kreativiti yang mencerminkan identiti komuniti luar bandar,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian karnival berkenaan di Pentas Utama Pesta Selangau, pada malam Jumaat.

Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo, telah memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk Selangau.

“MDLBS komited memastikan pembangunan di kawasan ini terus dirancang secara mampan dengan penyediaan kemudahan, perkhidmatan majlis serta peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya golongan belia, agar memanfaatkan platform karnival dengan penuh semangat dan tanggungjawab bagi membina komuniti luar bandar yang progresif dan inklusif.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua agensi, organisasi dan sukarelawan yang bekerjasama menjayakan karnival tersebut, antaranya Pejabat Residen Sibu, Pejabat Daerah Selangau, Top Event Management Sdn. Bhd., Grit Event Management, Raban Ngepan Iban (RNI) serta pelbagai agensi kerajaan.

Karnival yang berlangsung di Pekan Baru Selangau itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.-EDISI UKAS

#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur