SARIKEI: Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga menyemarakkan semangat perpaduan di Sarikei menerusi penganjuran Program Semarak Perpaduan yang berlangsung di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan Sarikei, pada malam Jumaat.
Program anjuran Jawatankuasa KRT Bahagian Sarikei itu telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sarawak, Dirwana Azool.
Beliau menegaskan bahawa Rukun Tetangga kekal sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara.
“Rukun Tetangga bukan sahaja simbol keharmonian masyarakat majmuk, tetapi juga wadah penyatuan rakyat yang sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1975, Rukun Tetangga telah melalui lima fasa transformasi termasuk peluasan peranan kepada aktiviti kemasyarakatan, pembangunan ekonomi komuniti, dan adaptasi terhadap kemajuan teknologi moden.
Tambahnya, kerajaan terus memberi sokongan kepada inisiatif yang dilaksanakan di bawah Rukun Tetangga bagi memperkukuh semangat kejiranan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui pelbagai program sosial, kebajikan, dan ekonomi.
Pelbagai aktiviti menarik berunsur perpaduan dan kebudayaan turut diadakan bagi membina masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan sejahtera.-EDISI UKAS