KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dan Jepun terus memperkukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga hijau, bekalan tenaga yang stabil serta program pertukaran belia, termasuk pertukaran pelajar antara kedua-dua pihak.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki memberitahu, di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, hubungan dengan Sarawak dijangka terus berkembang dan memberi manfaat bersama.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Jepun yang baharu, Takaichi, hubungan antara Jepun dan Sarawak akan terus berkembang termasuk dalam bidang bekalan tenaga yang stabil, peralihan hijau, serta usaha mempromosikan pertukaran belia, termasuk pertukaran pelajar antara Jepun dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Shikata menambah, Jepun pada masa ini sedang giat melaksanakan pelbagai projek peralihan hijau, termasuk inisiatif hidrogen, di samping meneruskan bekalan gas asli cecair (LNG) dari Bintulu.
“Jadi, kami membincangkan jenis-jenis projek pelaburan baharu yang mungkin datang dari Jepun ke Sarawak. Sudah tentu, kita perlu menjalin kerjasama lebih erat antara sektor kerajaan dan sektor swasta,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu menyifatkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan berpotensi tinggi berikutan dasar progresif yang diperkenalkan Datuk Patinggi Abang Zohari dalam memperkenalkan teknologi baharu.
“Banyak syarikat Jepun mempunyai kepakaran dalam teknologi hijau yang sesuai diaplikasikan di Sarawak.
“Dalam konteks ‘Asia Zero Emission Community’ (ASEC), Sarawak memainkan peranan penting memandangkan keupayaannya dalam tenaga hidro yang semakin berkembang,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan Jepun dan Sarawak akan terus mencari pendekatan terbaik bagi memanfaatkan sumber tenaga hijau secara optimum demi masa depan rendah karbon di rantau ini.
Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir