Sarawak Komited Pacu Pembangunan AI

Posted on 23 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) seiring dengan usaha kerajaan negeri ke arah kemajuan digital yang inklusif.

Pakar teknologi dan inovasi antarabangsa, Dr. Ayesha Khanna, menyatakan rasa kagum dan memuji Sarawak kerana memberi tumpuan kepada pembangunan AI yang beretika serta berpaksikan manusia.

“Saya amat kagum dengan komitmen tinggi Sarawak yang bukan sahaja ingin membangunkan data AI, tetapi turut menekankan tanggungjawab dalam pelaksanaannya. Itulah satu-satunya cara untuk maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian yang bertajuk “Resilient by Design: Shaping Inclusive Futures in an AI-Driven World” sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Khamis.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan transformasi digital bukan sekadar bergantung pada teknologi, tetapi pada keupayaan sesebuah negeri membina kepercayaan, etika dan kemahiran rakyatnya.

“Bukan sahaja penting dalam melahirkan jurutera AI yang mahir, tetapi juga memastikan rakyat tahu cara untuk bekerja bersama teknologi AI.”

“Mereka yang mempunyai pengalaman bekerja dengan AI mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan,” jelasnya.

Dr Ayeesha menambah, pembangunan tenaga kerja berkaitan AI juga perlu memberi tumpuan kepada pendidikan, latihan dan kolaborasi dengan industri agar generasi muda mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta memanfaatkan peluang pekerjaan masa depan.

Pakar berkenaan menyatakan harapan untuk terus mengikuti perjalanan Sarawak dalam bidang AI pada masa akan datang sebagai salah satu contoh pembangunan mampan yang berpandangan jauh.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: IDECS25