Yang di-Pertua Negeri Sarawak Bakal Hadiri Majlis Konvokesyen UTS Ke-10

Posted on 23 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Ke-10 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud pada 8 November ini.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi akan menyampaikan skrol kepada 155 graduan terdiri daripada 44 graduan Sarjana dan 111 graduan Sarjana Muda untuk sesi pertama penyampaian konvokesyen tersebut.

Seramai 405 graduan bakal diraikan pada majlis konvokesyen kali ini.

Beliau turut bakal menyampaikan ucapan bersempena Majlis Konvokesyen UTS Ke-10 itu.

Terdahulu, delegasi UTS diketuai Naib Canselor Datuk Prof Dr Khairuddin Abdul Hamid telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi selaku Canselor UTS di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UTS Prof Ir Ts Dr Mohd Shahril Osman serta yang lain. -EDISI UKAS