UNIMAS Perkasa Surirumah Luar Bandar Melalui Program “Wash Well, Waste Less”

Disiarkan pada 23 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh peranan sebagai universiti berteraskan komuniti apabila melalui Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) berjaya melaksanakan Program “Wash Well, Waste Less” di Kampung Semera, Asajaya pada Rabu.

Program tersebut merupakan inisiatif di bawah Geran Komuniti@UniMADANI 2025, yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia bagi memperkasa komuniti luar bandar melalui pendekatan ‘chemipreneur’, gabungan inovasi kimia dan keusahawanan sosial.

Ketua projek, Dr. Ain Nadirah Romainor dari FSTS berkata, bengkel tersebut memberi tumpuan kepada penghasilan sabun mesra alam menggunakan minyak masak terpakai, sekali gus membuktikan bahawa bahan buangan mempunyai nilai ekonomi yang boleh dimanfaatkan.

“Melalui bengkel ini, kami ingin menunjukkan bahawa bahan buangan seperti minyak masak terpakai sebenarnya mempunyai nilai ekonomi yang boleh dijadikan sumber pendapatan. Ia bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah membuka peluang keusahawanan baharu kepada penduduk kampung,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa projek ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), serta agenda MySTIE 10-10 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Program yang melibatkan penyertaan beberapa pakar kimia dan keusahawanan termasuk Prof. Dr. Zainab Nagaini, Dr. Faizan Iza, Dr. Mugunthan dan Dr. Junidah, turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya golongan suri rumah.

Peserta-peserta bengkel menyatakan sabun yang dihasilkan berkesan menanggalkan kotoran degil pada pakaian serta melihat potensi komersial produk tersebut yang boleh dijadikan cenderahati atau door gift majlis perkahwinan kerana murah dan menarik.

Dr. Ain Nadirah menambah, pasukan penyelidik menyasarkan untuk memperluaskan program ini ke lebih banyak kampung di seluruh Sarawak sebagai sebahagian daripada komitmen UNIMAS untuk menjadi “community-driven university for a sustainable world.”-EDISI UKAS