Kota Petra Green Technology Park Perkukuh Peranan Sarawak Sebagai Hab Industri Hijau

Posted on 23 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Peranan Sarawak dalam agenda tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital terus diperkukuh menerusi pembangunan ‘Kota Petra Green Technology Park’ yang bakal menjadi antara pusat teknologi hijau terulung di rantau ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, taman teknologi hijau seluas 3,000 ekar itu akan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) dan menampilkan integrasi digital menyeluruh yang menggabungkan tenaga solar berskala besar berkapasiti 300 megawatt serta sistem simpanan tenaga bateri 600 megawatt-jam.

“Sistem simpanan tenaga itu akan membekalkan kuasa kepada tapak pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pangkalan industri hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘Ethical AI and the Green Digital Economy: Sarawak’s Path to Regional Leadership in Utility and Telecommunication’ sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab IDECS25 menambah, projek berkenaan yang terletak di Petra Jaya kini menunjukkan perkembangan positif dan dijangka menjadi antara projek seumpamanya yang pertama di wilayah selatan Sarawak.

Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut menjelaskan bahawa pembangunan tersebut akan digabungkan dengan ‘Sarawak Data Centre Park’ yang akan dikuasakan sepenuhnya melalui tenaga boleh diperbaharui dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai rakan kuasa utama.

“Taman ini akan dibina mengikut piawaian antarabangsa Tier 4, iaitu tahap tertinggi dari segi kecekapan dan kebolehpercayaan infrastruktur data,” tambahnya.

Menurutnya, permintaan terhadap pusat data hijau, selamat dan diurus secara beretika semakin meningkat di seluruh ASEAN dan Sarawak kini berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan itu.

“Nilai sebenar Sarawak bukan hanya pada keupayaan, tetapi juga pada kredibiliti yang mana menawarkan kepada pelabur, pemaju dan kerajaan satu ekosistem di mana kelestarian dan etika bergerak seiring,” ujar beliau.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman. -EDISI UKAS