KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong dan Sekolah Menengah Sains Miri mengungguli Premier Debate Challenge selepas masing-masing menampilkan kehebatan dalam kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
SMK Lutong, Miri dinobatkan sebagai Johan Kategori Bahasa Inggeris selepas mempamerkan kerjasama mantap serta gaya penghujahan yang meyakinkan sepanjang pertandingan.
Kecemerlangan pasukan itu turut diserlahkan apabila Leann Yii Zhen dari SMK Lutong menerima anugerah Pendebat Terbaik.
Sementara itu, SMK Chung Hua Miri muncul Naib Johan, manakala Yayasan Sarawak International Secondary School dan SM Sains Kuching Utara, Padawan berkongsi di tempat ketiga.
Bagi kategori Bahasa Melayu, SM Sains Miri diumumkan sebagai johan, menonjolkan kebolehan berhujah dan kepekaan terhadap isu semasa.
Rania Zulaikha Radzami dari sekolah yang sama turut menerima anugerah Pendebat Terbaik.
Naib Johan pula diraih SMK Santubong manakala tempat ketiga dikongsi bersama oleb SMK Kubong serta Yayasan Sarawak International Secondary School.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang diiringi oleh Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed.
Dato Sri Roland menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan semangat para pelajar, sambil menggalakkan mereka terus meningkatkan kemahiran komunikasi kerana aktiviti debat dapat membina keyakinan diri, kepimpinan dan semangat berpasukan dalam kalangan belia.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pendidikan MEITD, Donald Henry Nohed, Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Hazali Madihi, serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Alezxandria Kapple & Betrice Britney Dee
Penterjemah: Betrice Britney Dee
Foto: Alezxandria Kapple & Betrice Britney Dee