Program SYStartup Perkasa Belia Sarawak Dalam Bidang Keusahawanan

Disiarkan pada 22 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Program Sarawak Youth Startup (SYStartup) kohort kedua yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 15 November ini di Miri bertujuan memperkasa belia Sarawak dalam bidang keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, program intensif anjuran kementeriannya itu bagi memberi peluang kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun untuk mendalami ilmu dan kemahiran keusahawanan secara menyeluruh.

“Program ini adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan belia menceburi sektor keusahawanan ataupun perniagaan.

“Konsep yang ingin kita terapkan kepada belia-belia kita ialah berkenaan dengan modal ilmu untuk menjadi seorang usahawan,” katanya dalam sidang media program berkenaan di sini, pada Rabu.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan program berkenaan adalah penting untuk melahirkan generasi belia Sarawak yang mampu menjana peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita ingin melahirkan ramai belia yang menjadi 'job creator' , bukannya hanya fokus kepada 'job seekers' dan ini adalah penting dan selari dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Premier kita di bawah PCDS 2030,” ujarnya.

Menurut beliau, seramai 150 hingga 200 peserta disasarkan menyertai kohort kedua program berkenaan, yang menampilkan modul berkaitan motivasi keusahawanan, pendaftaran perniagaan, pelesenan, penjenamaan, perakaunan dan kesedaran terhadap penipuan dalam talian.

Datuk Dr. Ripin berharap belia Sarawak yang berminat agar segera memohon penyertaan sebelum tarikh tutup pada 30 Oktober ini menerusi laman web rasmi kementerian atau melalui kod QR yang disediakan.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Betrice Britney Dee & Alezxandria Kapple
Foto: Douglas Demong & Alezxandria Kapple