KUCHING: Sarawak bakal mengetengahkan kemajuan pesat dalam industri tenaga bersih dan semikonduktor semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada 27 Oktober ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meminta Sarawak berkongsi pengalaman serta pencapaian negeri itu dalam membangunkan kedua-dua sektor strategik berkenaan.
"Perdana Menteri telah meminta saya untuk berkongsi kemajuan yang dicapai di Sarawak dalam kedua-dua sektor penting ini yang menjadi sebahagian daripada ekonomi baharu, iaitu tenaga bersih dan semikonduktor, khususnya yang melibatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin kemajuan dalam pelbagai sektor ekonomi serta menggalakkan penggunaan teknologi AI," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak telah menggunakan elemen AI dan semikonduktor secara serentak di mana keupayaan AI itu sendiri bergantung kepada fungsi dan reka bentuk cip termasuk membangunkan reka bentuk cip tersendiri iaitu KETEQ.AI.
Mengulas mengenai kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke sidang kemuncak tersebut, beliau berharap kehadiran pemimpin dunia itu dapat memahami dengan lebih mendalam geopolitik rantau Asia-Pasifik.
"Iklim pelaburan sedikit terjejas susulan pelaksanaan dasar tarif Donald Trump yang memberi kesan terhadap perdagangan dan pelaburan di rantau ini.
"Oleh itu, saya berharap para pemimpin ASEAN dapat berbicara secara bijaksana untuk mengatasi masalah ekonomi disebabkan dasar tarif yang dilaksanakan oleh Donald Trump," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Hisyam Arif