SarawakPass Diperkenalkan, Evolusi Daripada SarawakID

Posted on 22 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan SarawakPass iaitu evolusi baharu daripada sistem SarawakID sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kecekapan dan integrasi dalam tadbir urus digital negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sistem baharu itu kini dipertingkat dengan ciri identiti digital yang lebih selamat menggunakan Public Key Infrastructure (PKI) selain dilengkapi dompet digital dan integrasi dengan MyBenefit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sistem ini kini dilengkapi dengan ciri identiti digital yang dipertingkat, keselamatan berasaskan Public Key Infrastructure (PKI), dompet digital, serta integrasi dengan MyBenefit.

Menurut beliau, inisiatif ini menjadikan SarawakPass sebagai pintu gerbang tunggal dan dipercayai bagi mengakses semua perkhidmatan digital Kerajaan Sarawak secara selamat dan bersepadu.

"SarawakPass mencerminkan prinsip panduan kami iaitu 'satu identiti, pelbagai peluang'.

"Ini bagi memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat akses yang selamat, lancar dan mudah ke dalam ekosistem digital kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, SarawakPass melambangkan inovasi baharu dengan visi yang besar iaitu sebuah kerajaan yang boleh diakses pada bila-bila dan mana-mana sahaja yang berteraskan kepercayaan, kecekapan dan keterangkuman.

Menyokong visi berkenaan, beliau mendedahkan pendigitalan perkhidmatan kerajaan kini berada jauh di hadapan jadual, dengan kadar pencapaian melebihi 56 peratus pada tahun 2025.

"Sarawak berada di landasan kukuh untuk mencapai akses digital sepenuhnya menjelang 2030," tegasnya.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengerusi Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS

Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Foto: Muhammad Rais Sanusi