Senator Susan Serah MRP Sebanyak RM34,000 Bukti Keprihatinan Terhadap Komuniti Luar Bandar

Posted on 21 Oct 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Sebanyak RM34,000 disalurkan di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada tiga sekolah dan sebuah biro wanita dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sini, semalam.

Tiga sekolah yang menerima sumbangan masing-masing sebanyak RM10,000 ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul Banting, SK Ijok Engkilili dan SK Ridan Engkilili. Sementara itu, Biro Wanita JKKK Rumah Tayan, Lepong Sarikei turut menerima sumbangan bernilai RM4,000.

Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding berkata, pemberian dana tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen beliau untuk terus menyokong pembangunan pendidikan serta memperkasakan komuniti luar bandar agar kekal aktif dalam pelbagai kegiatan bermanfaat.

“Untuk tahun ini, saya telah menyalurkan dana MRP kepada penerima yang aktif melaksanakan program kemasyarakatan dan ekonomi komuniti.

“Sebagai contoh, Biro Wanita Rumah Tayan sangat aktif dalam penghasilan kraf tangan seperti anyaman beg dan bakul.

“Diharapkan dana ini dapat membantu serta memberi galakan kepada mereka untuk terus mengembangkan hasil kraf tangan yang menjadi identiti masyarakat tempatan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan MRP merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS