UNIFOR Salur RM35.77 Juta Dana Bagi Fasa Kedua, Bukti Komitmen Kerajaan Sarawak

Posted on 21 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan sebanyak RM35.77 juta dana kepada 107 projek rumah ibadat pelbagai agama di seluruh negeri di bawah Fasa Kedua Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyaluran dana itu merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM90 juta yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak bagi tahun ini sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang inklusif serta menyeluruh.

“Sehingga kini, sebanyak RM35.77 juta daripada RM90 juta dana telah disalurkan melibatkan 171 projek di bawah Fasa 1 dan Fasa 2.

"Baki peruntukan akan diserahkan pada bulan November nanti,” katanya ketika Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-agama Lain 2025 – Fasa 2 di Dewan Utama Kompleks UNIFOR, di sini pada Selasa.

Beliau menambah, kerajaan negeri melalui UNIFOR kini memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap dana digunakan dengan berhemah dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Kita dapati masih terdapat 220 rumah ibadat yang belum mengemukakan laporan perbelanjaan.

"Sasaran kita adalah untuk mengurangkan angka ini kepada sifar menjelang Disember 2025,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pemantauan kini dilaksanakan secara langsung oleh UNIFOR, bagi memastikan setiap projek menepati objektif asal bantuan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar pihak pengurusan rumah ibadat membuat permohonan berdasarkan keperluan sebenar.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri turut menyalurkan RM20 juta bagi kerja-kerja naik taraf sekolah mubaligh di seluruh Sarawak, sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur pendidikan agama dan komuniti.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan cek kepada 14 wakil rakyat dan penerima mewakili rumah ibadat pelbagai agama dari seluruh negeri.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS