MIRI: Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan kali ketiga (3rd International Conference on Educational Research and Innovation – iCERI2025) yang bertemakan “Educational Creativity and Innovation: From Global Research to Local Impact” membuka tirainya pada Selasa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis yang hadir mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Program anjuran Injuran Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), serta disokong oleh Business Events Sarawak (BES) dan Hotel Meritz berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober 2025.
Ia menghimpunkan lebih 1,400 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk 119 pembentangan kertas kerja, 192 pasukan inovasi dan 32 pasukan robotik, melibatkan pelajar, pendidik, penyelidik serta pembuat dasar dari pelbagai latar belakang.
Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Francis Harden, Dato Sri Roland Sagah menekankan peranan iCERI sebagai platform dinamik yang menghubungkan teori dengan amalan pendidikan sebenar, serta menjadikan hasil penyelidikan global dapat diterjemahkan kepada impak nyata di peringkat tempatan.
“Kreativiti dan inovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan dalam dunia pendidikan masa kini. Yang lebih penting, hasil penyelidikan mesti diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat,” ujar beliau.
Beliau turut berkongsi inisiatif Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) yang memberi tumpuan kepada pembinaan sistem pendidikan inklusif dan berdaya saing.
Antara sasaran utama ialah meningkatkan enrolmen pelajar dalam bidang STEM kepada 60 peratus menjelang 2030 dan memperluas Program Dwi Bahasa Sarawak (DLP) ke peringkat menengah bermula tahun 2026, satu langkah yang diyakini akan memperkukuh penguasaan sains, matematik dan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, beliau menyeru agar budaya inovasi disemai sejak di bangku sekolah, dengan memberi ruang kepada pelajar mempersembahkan idea dan projek mereka.
“Inovasi tidak harus terbatas di universiti atau kementerian semata-mata, tetapi mesti menjadi budaya pembelajaran yang hidup di sekolah,” tambahnya.
Persidangan tiga hari ini menampilkan penceramah utama antarabangsa dari United Kingdom, Thailand, Vietnam, Filipina dan Malaysia yang akan membincangkan pelbagai topik seperti trend pendidikan global, pedagogi inovatif dan integrasi teknologi dalam pembelajaran.-EDISI UKAS