KOTA SAMARAHAN: Seramai 26 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Dana Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) daripada Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dalam satu majlis penyampaian yang diadakan di sini pada Isnin.
Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif penyampaian dana kepada lebih 100 pelajar dari kawasan Parlimen Batang Sadong, melibatkan 80 pelajar ijazah sarjana muda dan 13 pelajar diploma. Bagi penerima yang tidak dapat hadir, penyerahan sumbangan akan dilakukan secara berperingkat.
Setiap pelajar ijazah menerima sumbangan sebanyak RM500, manakala pelajar diploma menerima RM300 sebagai bantuan awal untuk menampung keperluan asas sewaktu memulakan pengajian.
Dalam ucapannya, Rodiyah menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Bangga dengan keluarga, jangan sia-siakan peluang ini dan jadilah pelapis masa depan Batang Sadong. Gunakan segala bantuan kerajaan melalui Yayasan Sarawak dan Baitulmal sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut menyeru agar hubungan silaturahim antara pelajar dan pejabat Parlimen Batang Sadong terus dieratkan, termasuk melalui cadangan penubuhan kumpulan WhatsApp rasmi sebagai platform komunikasi antara wakil pelajar lelaki dan perempuan dengan pihak pejabatnya.
Dalam masa yang sama, Rodiyah mengingatkan pelajar agar sentiasa menjaga nama baik diri serta keluarga sepanjang tempoh pengajian, selain menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.
“Fokus belajar, jaga nama baik keluarga dan diri sendiri, sebab saya yakin adik-adik semua mampu berjaya,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi perbincangan santai antara Rodiyah dan para pelajar mengenai perancangan program serta aktiviti bersama pelajar pada masa akan datang.-EDISI UKAS