Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Induk LBAS 2025

Disiarkan pada 21 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Astana Negeri Sarawak di sini pada Selasa.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2025.

Pertemuan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi untuk menyempurnakan majlis makan malam LBAS 2025 yang akan diadakan pada Sabtu ini bertempat di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Program tahunan anjuran Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers) itu merupakan platform utama untuk menghimpunkan anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan, jaringan sosial dan semangat kenegeriaan dalam kalangan rakyat Sarawak di perantauan.

Majlis yang akan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu turut menjadi medan ramah mesra antara masyarakat dan pimpinan tertinggi negeri, selain mengangkat semangat Segulai Sejalai dalam kalangan warga Sarawak di luar negeri ini.

Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi serta Ahli Parlimen Serian Dato Sri Dr. Richard Riot Jaem.

Hadir sama, Timbalan Ketua Projek Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, Nur Aisyah Eiryeeza Sabri Waini.-EDISI UKAS