Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada ITTIHAD

Disiarkan pada 21 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Ulama Sarawak (ITTIHAD) di Astana Negeri Sarawak pada Selasa.

Delegasi ITTIHAD diketuai oleh Yang di-Pertua ITTIHAD, Datu Ustaz Mohamed Ali Mohamed Sheriff diiringi Timbalan Yang di-Pertua, Ustaz Dr.Syed Abdul Aziz Datuk Wan Hamid Edrus, dan Setiausaha, Ustaz Muhammad Adib Saini.

Dalam pertemuan tersebut, rombongan ITTIHAD memperkenalkan latar belakang pertubuhan serta membentangkan pelbagai inisiatif pendidikan, dakwah, dan kebajikan yang dijalankan untuk manfaat masyarakat Islam di Sarawak.

Mereka turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh peranan institusi dakwah dalam membimbing ummah ke arah kesejahteraan dan perpaduan.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja ITTIHAD iaitu Datu Ustaz Khalidi Ibrahim, Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir, Ustazah Dr. Sharifah Nooraida Wan Hasan, serta Ahli Berdaftar ITTIHAD, Ustaz Ahmad Sukarno Saini.-EDISI UKAS