Jabatan Hutan Terus Terajui Transformasi Hijau Sarawak

Disiarkan pada 21 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak terus membuktikan peranannya sebagai peneraju utama dalam merealisasikan agenda Transformasi Hijau Sarawak melalui pengurusan hutan mampan, inovasi digital dan kerjasama strategik antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Jabatan Hutan Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan hijau negeri dilaksanakan secara seimbang antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem digital seperti Enterprise Forest Information Management System (EFIMS) dan Sarawak Logs Tracking and Forest Revenue System (REVLOG) membuktikan keupayaan jabatan berkenaan memperkukuh pengurusan sumber semula jadi secara telus, efisien dan berintegriti.

“Melalui pendekatan berasaskan teknologi dan data ini, Sarawak menjadi antara negeri peneraju dalam pengurusan hutan secara lestari, seiring dengan agenda pembangunan hijau negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak 2025 pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut memuji kejayaan Jabatan Hutan Sarawak yang berjaya mempersijilkan 1.6 juta hektar hutan di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS), melaksanakan lesen karbon hutan pertama di Malaysia serta menanam lebih 50 juta pokok di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, sekali gus melepasi sasaran lebih awal daripada jangkaan.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Sarawak Sustainability Blueprint 2030, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, katanya, kerjasama strategik Jabatan Hutan dengan institusi antarabangsa seperti Smithsonian Institution, Harvard University dan National Institute for Environmental Studies (NIES) Jepun turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam bidang pengurusan hutan tropika serta mitigasi perubahan iklim di peringkat global.

Dalam majlis sama, Datuk Amar Awang Tengah turut menyampaikan penghargaan kepada pesara dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa, dedikasi dan sumbangan mereka kepada jabatan.

Seramai 89 pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 35 penerima menerima Penghargaan Persaraan.

Hadir sama Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar LCDA Datu Dr. Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak (NREB) Datu Jack Liam, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah dan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation Abang Arabi Abang Aimran-EDISI UKAS