KUCHING: Fokus Sarawak kini beralih daripada perancangan strategik kepada pelaksanaan dasar-dasar yang akan diimplementasikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang kini menjadi kompas strategik wilayah ini untuk lima tahun akan datang.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, RMK-13 memerlukan tadbir urus yang mantap, pelaksanaan yang berdisiplin dan dedikasi daripada semua pihak termasuklah Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).
Sehubungan itu katanya, SCS akan terus komited untuk melaksanakan RMK-13 dengan cemerlang, berintegriti, dan bertanggungjawab, dengan tumpuan kepada pelaksanaan, penyampaian dan hasil yang memastikan manfaat pembangunan dirasai di setiap pelosok Sarawak.
“Kami akan menumpukan perhatian kepada pelaksanaan, penyampaian, dan pencapaian hasil, memastikan manfaat pembangunan dirasai di setiap pelosok Sarawak.
“Kami juga akan terus bekerjasama sebagai satu pasukan dengan sektor swasta, pelabur, dan komuniti, membina perkongsian yang memacu inovasi, memperkukuh daya saing, dan menggalakkan pertumbuhan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Rasmi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, RMK-13 memerlukan prinsip 3R, iaitu ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ bagi menilai semula pengajaran yang diperoleh, memperhalusi strategi untuk impak yang lebih besar serta memperbaharui semangat Sarawak ke arah visi 2030.
“Pertama, SCS akan menangani halangan pelaksanaan bagi memastikan penyampaian projek yang sedang berjalan lebih cepat dan berkesan dan menyatukan hasil dan pencapaian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta PCDS 2030 sambil memperluas inisiatif yang terbukti berjaya.
“Ketiga, SCS akan merangka laluan ke hadapan yang berorientasikan masa depan dengan menangkap peluang baru, memupuk inovasi, serta menarik pelaburan awam dan swasta yang memberi impak tinggi untuk pertumbuhan masa depan Sarawak,” jelasnya lagi.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, jemaah Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS