RMK-13: Sarawak Sasar Gandakan Saiz Ekonomi Menjelang 2030

Posted on 20 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menggandakan pertumbuhan ekonominya melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata RMK-13 akan membuka laluan kepada negeri ini untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar, memperkukuh transformasi ekonomi, serta memperluaskan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan Sarawak.

“Melalui usaha strategik ini, kita menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonomi negeri daripada RM148.2 bilion pada 2024 kepada RM282 bilion menjelang 2030, dengan pendapatan isi rumah bulanan median disasarkan sebanyak RM15,000.

“Ini mencerminkan tekad kita untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat Sarawak,” jelas beliau ketika berucap pada Pelancaran Rasmi RMK-13 Sarawak di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, matlamat utama RMK-13 dalam tempoh lima tahun ini adalah untuk memastikan setiap inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) memberikan hasil yang nyata kepada rakyat termasuk memperbaiki taraf hidup, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, serta memperluaskan peluang ekonomi kepada semua lapisan masyarakat.

“Sarawak akan terus memanfaatkan sumber semula jadi dan kelebihan daya saingnya, digabungkan dengan teknologi terkini serta tenaga kerja berkemahiran tinggi, untuk memacu pembangunan industri hiliran bernilai tinggi, memperluaskan pelaburan hijau dan mewujudkan peluang inklusif bagi memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir dalam perjalanan menuju kemakmuran bersama,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang mampan hanya dapat dicapai dengan penglibatan aktif sektor swasta yang dinamik, melalui usaha sama untuk memperluaskan kapasiti, meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh daya saing serta menarik pelaburan domestik dan asing.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS

Disediakan: Jonnie Kiew
Gambar: Muhammad Rais Sanusi