SERIAN: Projek naik taraf Jalan Padawan Fasa 1 kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 35.89 peratus setakat ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai RM73.9 juta itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di bawah seliaan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 14.9 kilometer (km) dari Simpang Tapah ke Teng Bukap.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 3 September 2026,” katanya selepas melakukan tinjauan ke tapak projek di sini pada Isnin.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, apabila siap kelak, laluan tersebut akan menjadi akses alternatif penting yang menghubungkan Serian dan Kuching, selain memberi manfaat kepada lebih 6,000 penduduk di Kampung Mundai, Kampung Simpok, Kampung Peraya, Kampung Stabut, Kampung Kirian, Kampung Sira dan Pekan Teng Bukap.
Jelasnya, selain meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya, projek ini juga diyakini mampu merangsang pembangunan pelancongan, pertanian serta sektor perumahan di kawasan berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah turut dimaklumkan mengenai beberapa cabaran pelaksanaan projek termasuk pengalihan tiang elektrik, kabel serta pembinaan rumah di atas rizab jalan kerajaan.
Bagi menangani isu tersebut, kerajaan negeri telah menyalurkan bayaran ex-gratia berjumlah RM1.03 juta kepada pemilik premis yang terlibat, manakala Sarawak Energy Berhad (SEB) memberi jaminan bahawa kerja pengalihan tiang akan disiapkan menjelang Disember 2025.
Datuk Amar Douglas Uggah berharap projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan berfungsi sepenuhnya demi kepentingan rakyat luar bandar.-EDISI UKAS