MUKAH: Kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dijadikan budaya nasional yang diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, berkata budaya kesiapsiagaan amat penting terutama di Sarawak yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar serta berdepan risiko bencana.
“Kesiapsiagaan bukan hanya tugas ketika krisis, tetapi perlu menjadi budaya nasional yang dipupuk dalam diri setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sarawak yang mempunyai geografi mencabar serta berdepan risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut petir dan kebakaran hutan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Pangkat, Pingat dan Reben Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak Tahun 2025, di sini pada Isnin.
Beliau turut mengajak masyarakat luar bandar untuk turut serta dalam aktiviti pertahanan awam bagi mempercepat tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan.
“Apabila komuniti sendiri menjadi sebahagian daripada APM, bantuan awal dapat diberikan sebelum pasukan bantuan tiba. Ini amat penting di kawasan pedalaman seperti Oya dan Dalat,” tambahnya.
Dato Hanifah menzahirkan penghargaan kepada APM Sarawak atas peranan penting mereka sebagai benteng keselamatan rakyat dan barisan hadapan dalam menghadapi pelbagai kecemasan dan bencana di negeri ini.
Katanya, walaupun berdepan kekangan aset dan peralatan, semangat, disiplin dan kecekapan anggota APM Sarawak amat membanggakan.
Pada majlis tersebut, seramai 166 pegawai dan anggota APM Sarawak menerima watikah kehormat, pangkat, pingat dan reben sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang mereka dalam menjaga keselamatan rakyat serta kesejahteraan komuniti.
Antara anugerah yang disampaikan termasuk Pingat Pahlawan (PPj), Pingat Setia Pertahanan (PSP), Pingat Anugerah Perkhidmatan (PAP) dan Pingat Perkhidmatan Pertahanan (PPP).
Majlis turut melibatkan penyertaan anggota dan pegawai dari pelbagai bahagian serta daerah di seluruh Sarawak termasuk Mukah, Kapit, Bintulu, Miri, Meradong, Daro, Selangau, Sibu, Betong, Spaoh, Dalat, Saratok, Song, Sarikei, Julau, Kanowit, Pakan dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam serta Pengarah APM Sarawak Mohtar Samat.-EDISI UKAS