KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sarawak-Regatta Kuching Waterfront 2025 di Astana Negeri Sarawak, pada Isnin.
Delegasi tersebut diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kunjungan tersebut diadakan bagi menjemput Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri beberapa acara utama yang bakal berlangsung pada awal November ini.
Antara acara yang dijemput ialah Festival Gendang Sarawak 2025 yang dijadualkan pada 1 November 2025 di Kuching Waterfront.
Acara berprestij itu dijangka turut dihadiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu, Majlis Penutupan Regatta Sarawak 2025 akan berlangsung pada 2 November 2025 turut diadakan di Kuching Waterfront.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi akan hadir sebagai tetamu kehormat, manakala Sultan Pahang akan berangkat sebagai tetamu diraja majlis tersebut.
Kedua-dua acara berkenaan, khususnya Regatta Sarawak yang merupakan antara acara tonggak Sarawak tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkayakan warisan budaya, tradisi, serta seni persembahan tempatan selain memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat.
Turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Mohd Fu’ad Ariffin, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman, Kontroller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Lt. Kol. (B) Ding Tiew Wong, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Tracy Evon, wakil Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabongnserta wakil Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri Sarawak, Wan Fauzi Wan Ismail.-EDISI UKAS