MIRI: Acara tahunan Myy Hobbies & Collection Fest 5.0 yang berlangsung di Bintang Megamall, Miri pada 18 dan 19 Oktober 2025 menerima sambutan menggalakkan daripada peminat hobi dan pengumpul barangan dari seluruh Sarawak serta negara jiran Brunei.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penganjuran program seperti ini bukan sekadar menghimpunkan komuniti peminat hobi, malah menjadi platform penting untuk memupuk kreativiti, disiplin serta semangat komuniti dalam kalangan anak muda.
“Acara seperti ini bukan sahaja mengumpulkan komuniti peminat hobi, tetapi juga menggalakkan anak-anak muda dan generasi baharu untuk meminati hobi yang sihat tidak kira tua atau muda.
"Minat seperti ini mampu membentuk kreativiti, disiplin dan semangat komuniti, serta mengelakkan anak-anak kita daripada terlalu bergantung kepada gajet,” ujar beliau semasa merasmikan program tersebut pada Ahad.
Menurut beliau, hobi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan dan peluang masa depan sekiranya dibimbing dengan betul oleh ibu bapa serta masyarakat.
Lebih 500 pengunjung hadir sepanjang dua hari penganjuran, termasuk vendor dari Kuching, Sarikei, Bintulu, Brunei serta kawasan pedalaman Miri yang mempamerkan pelbagai koleksi menarik seperti Transformer, Digimon, Hot Wheels dan figura koleksi lain.
Myy Hobbies & Collection Fest kini menjadi antara acara komuniti popular di Miri, menghimpunkan pelbagai peminat dan pengumpul dari seluruh rantau untuk berkongsi minat serta membina jaringan komuniti hobi yang semakin berkembang.-EDISI UKAS