KUCHING: Program InnoWaste 2025 menampilkan pelbagai hasil inovasi dalam pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar oleh pelajar, institusi pengajian tinggi serta pihak berkuasa tempatan.
Program anjuran Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) yang bertemakan “Reimagining Waste for a Sustainable Sarawak” itu berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober 2025 di Hotel Pullman Kuching.
Ia menyaksikan Majlis Daerah Lundu dinobatkan sebagai johan bagi kategori pihak berkuasa tempatan, disusuli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di tempat kedua dan Majlis Daerah Sri Aman di tempat ketiga.
Kategori pameran terbaik (organisasi lain) pula menyaksikan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Foundation Malaysia (Kuching) diumumkan sebagai johan, diikuti Worming Up di tempat kedua dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di tempat ketiga.
Chung Hua Middle School No. 1 pula mengungguli kategori sekolah menengah dengan projek “Rainwater Harvesting & Hydropower”, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Thomas di tempat kedua (Kitar Suku Kata) dan SMK Pending di tempat ketiga (Tropical Rainforest).
Manakala ciptaan “Eco Flex Math Challenge Kit” membolehkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Pangkalan Baru muncul johan bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa di tempat kedua dengan inovasi “Beg Ajaib Ku”, manakala SK Song Kheng Hai dan SJK (C) Kai Nang berkongsi tempat ketiga dengan projek “Caps Kingdom” dan “Solar Eclipse Box”.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian sempena majlis perasmian program berkenaan, pada Isnin.
Program turut menampilkan dua sesi ceramah pendidikan iaitu oleh Pegawai Kawalan Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Timah Beskop yang membentangkan tajuk “Pengurusan Sisa Pepejal yang Mampan” serta Regional Plant Manager Sar-Alam Indah Sdn Bhd dan Caroline Ma yang membincangkan topik “The Water Cycle: Reimagining Wastewater”.
Kedua-dua ceramah berkenaam memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan sisa yang mampan serta potensi inovasi dalam rawatan air sisa bagi menyokong agenda ekonomi kitaran di Sarawak.
Program ini akan diteruskan esok dengan pelbagai aktiviti pameran, sesi perkongsian dan penyertaan komuniti sebagai platform memperkukuh budaya inovasi hijau serta kesedaran awam terhadap kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Ibanez Jeffery Guang