RM231 Juta Dilulus Naik Taraf Seksyen Durin-Salim

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM231 juta bagi menaik taraf Seksyen Durin dan Salim di bawah pelaksanaan Projek Redline yang bakal dilaksanakan secara berfasa sebaik sahaja dana disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha menaik taraf jajaran sepanjang 40.27 kilometer itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaringan jalan raya di Sarawak agar lebih selamat, selesa dan mampan.

“Projek ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan bagi memastikan setiap jajaran dapat dinaik taraf dengan lebih efisien dan berimpak tinggi kepada rakyat Sarawak,” katanya selepas meninjau kemajuan Projek Redline di Seksyen Durin Salim, Sibu, pada Ahad.

Menurut beliau, Projek Redline secara keseluruhan meliputi panjang 136.74 kilometer dan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu jajaran pendek dan jajaran panjang.

“Pelaksanaan Projek Redline bukan sahaja meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya, tetapi juga memperkukuh keterhubungan antara bandar, luar bandar dan pedalaman di Sarawak,” ujarnya.

Jajaran pendek melibatkan sembilan lokasi lorong memotong sedia ada dengan panjang keseluruhan 17.1 kilometer termasuk lima lokasi antara Bintulu dan Miri.

Jajaran panjang pula melibatkan empat seksyen utama iaitu Seksyen Durin-Salim, Seksyen Kemena, Seksyen Tudan dan Seksyen Batu Kawa-Padawan.

Beliau menegaskan, KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan kekal komited bagi memperkasa infrastruktur negeri melalui pendekatan holistik.

Pendekatan ini, jelasnya, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan inklusif bagi memastikan manfaat kemajuan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.-EDISI UKAS