Bantuan Sedang Diurus Bantu Mangsa Kebakaran Di Sebuyau

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Bantuan sedang diuruskan bagi membantu mangsa kebakaran, Wan Roslan Wan Sait yang kehilangan kediamannya dalam kejadian kebakaran di Kampung Jalan Sawmill, di sini pada Khamis lepas.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, beliau telah meluangkan masa pagi tadi untuk melawat tapak rumah mangsa dan menyampaikan sumbangan segera berbentuk wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.

“Kebakaran berlaku begitu pantas dan memusnahkan keseluruhan rumah mangsa. Buat masa ini, bantuan sedang diuruskan agar pembinaan semula rumah beliau dapat dilaksanakan secepat mungkin,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut memaklumkan bahawa beliau telah memohon kepada Kerajaan Pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidindua tahun lalu agar sebuah balai bomba baharu dibina di Bandar Baharu Sebuyau bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan di kawasan berkenaan.

“Urusan pembinaan balai bomba ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, namun Kerajaan Sarawak bersedia membantu dari segi penyediaan tapak bagi merealisasikan pembinaannya,” ujarnya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang.-EDISI UKAS